Make your own free website on Tripod.com
  Bimbingan & Kaunseling
 

 

Home
Biodata
Bimbingan & Kaunseling
Links
Feedback

 

 

 

PENGERTIAN, RASIONAL DAN OBJEKTIF BIMBAINGAN DAN KAUNSELING

Dalam usaha ke arah mencapai status negara maju, pelbagai masalah sosial dialami. Para pelajar terdedah kepada berbagai-bagai pengaruh seperti media massa, internet, kumpulan liar dan sebagainya. Dalam senario seperti ini, khidmat bimbingan dan kaunseling seharusnya diadakan untuk membantu pelajar menangani cabaran-cabaran baru dalam sesebuah negara yang pesat pembangunannya. Mari kita teliti secara dekat maksud pergertian bimbingan dan kaunseling serta rasional dan objektifnya.


PERGERTIAN BIMBINGAN

D.W. Lefever menjelaskan bimbingan sebagai suatu proses pendidikan yang berlanjutan, tersusun dan sistematik. Ia bertujuan membantu seseorang individu melalui daya usahanya sendiri untuk mengembangkan kebolehannya serta membuat penyesuaian diri dengan kehendak masyarakat agar memperoleh kesejahteraan hidup.

Menurut McDaniel dan Shaftell, bimbingan ialah suatu pola khidmat yang merangkumi orientasi, maklumat pendidikan dan kerjaya inventori individu, kaunseling, penempatan dan aktiviti susulan.
 

Rajah 1.1 Aktiviti-aktiviti bimbingan


Shertzer dan Stone pula berpendapat bahawa bimbingan adalah suatu proses yang menolong individu-individu memahami diri dan dunia mereka. Implikasi definisi ini ialah individu-individu akan dibantu oleh pembimbing agar menyedari kekuatan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan diri mereka. Dengan itu, mereka akan menentukan aras aspirasi yang lebih realistik dengan kebolehan dan minat mereka. Melalui cara ini, 0individu dapat mengembangkan kebolehannya ke suatu tahap yang maksimum serta memperoleh kesejahteraan hidup.

Alice Crow menerangkan bahawa bimbingan ialah bantuan yang diberi kepada seseorang individu bagi menentukan matlamat jangka pendek dan panjang, merancang cara-cara bertindak serta memperbaiki sikap dan tingkah laku dalam aspek-aspek yang perlu.

Bimbingan bukan merupakan proses memberi arahan kerana pembimbing tidak membuat keputusan untuk pelajar atau klien. Apa sahaja langkah, matlamat atau hasil yang dicapai merupakan usaha individu itu sendiri. Pembimbing tidak menentukan cara-cara individu itu memenuhi kehendak, keperluan atau minatnya. Kesemua ini diikhtiarkan oleh individu itu sendiri.

Kini, bimbingan yang diberi kepada para pelajar bertujuan membantu mereka mengembangkan diri secara maksimum sejajar dengan kebolehan dan minat mereka.


RASIONAL BIMBINGAN

Para pelajar di sesebuah sekolah berasal dari latar belakang yang berlainan. Mereka mempunyai kebolehan, minat dan bakat yang berbeza. Selain itu, sahsiah mereka juga berlainan. Misal, ada pelajar yang bersifat ekstrovert iaitu gemar bercampur gaul dan ada pula yang sebaliknya. Ada pelajar yang mudah tersinggung dan ada pula yang boleh menerima kritikan. Sebahagian pelajar begitu berminat terhadap pelajaran manakala ada pula yang menganggap pelajran sebagai sesuatu yang begitu membosankan. Sesetengah pelajar berasal dari keluarga yang bahagia. Sebaliknya ada pelajar yang pulang ke rumah yang kosong atau ibu dan bapanya telah bercerai.

Memandangkan senario di atas, guru akan mengalami pelbagai masalah disiplin. Masalah ini mungkin terdiri daripada gangguan biasa di dalam kelas atau pelajar yang selalu ponteng. Dengan itu, bimbingan diperlukan bagi membantu pelajar menikmati perkembangan yang menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.


OBJEKTIF-OBJEKTIF BIMBINGAN

Mengikut buku Panduan Pelaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah, program bimbingan mempunyai beberapa objektif seperti berikut:

1. Memberi khidmat penyuburan dan pengayaan yang meliputi semua aspek perkembangan murid-murid. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan peluang kemudahan dan pengalaman yang sejajar dengan kemampuan dan potensi murid.
2. Menyediakan khidmat pencegahan seperti menghindarkan murid-murid daripada terlibat dalam masalah disiplin, tingkah laku yang tidak bersopan, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
3. Menyediakan perkhidmatan kaunseling krisis.
4. Menyediakan perkhidmatan pemulihan seperti membantu murid-murid mengatasi masalah akademik, sosioemosi dan kerjaya.

Selain dari itu, objektif-objektif bimbingan adalah untuk:
1. Membantu murid-murid membuat penyesuaian peribadi, sosial, emosi dan akademik dengan keadaan di sekolah, peraturan-peraturan dan tatatertib.
2. Mewujudkan peluang untuk setiap murid mengembangkan daya kebolehan dirinya mengikut kesanggupannya.
3. Mengenal pasti kesulitan-kesulitan yang mengganggu pencapaian akademik murid-murid dan mengadakan langkah-langkah untuk mengatasinya seperti merujuk kepada guru-guru yang berkenaan.
4. Membantu murid-murid yang kurang bernasib baik untuk mengembangkan kebolehannya ke tahap yang maksimum supaya memperoleh pencapaian yang lebih baik.
5. Membentuk sifat-sifat sosial yang positif seperti bertanggungjawab, bersemangat, rajin, berdaya cipta, berdikari dan berkepimpinan.
6. Membantu murid-murid memahami kebolehan, bakat, minat serta kelemahan-kelemahan diri. Permahaman ini penting untuk memilih mata pelajaran dan jurusan serta perancangan kerjaya.
7. Menolong murid-murid membina tabiat kerja yang baik. Ini akan membolehkan mereka menyiapkan kerja sekolah dengan teratur serta menepati masa.
8. Menolong murid-murid mengembangkan secara seimbang aspek-aspek jasmini, emosi, rohani dan intelek.
9. Membentuk murid-murid yang stabil emosinya serta sentiasa berada dalam keadaan yang tenang dan bahagia.
10. Membentuk murid-murid yang berkebolehan berfikir secara rasional dan mengelak krisis daripada berlaku.
11. Menolong murid-murid memahami sesuatu masalah dari suatu sudut yang luas.
12. Menolong murid-murid memperoleh kemahiran-kemahiran tertentu untuk menyelesaikan masalahnya.
13. Menolong murid-murid membuat keputusan yang bijaksana dalam pelbagai situasi hidupnya.
14. Menolong murid-murid memperoleh kemahiran berkomunikasi supaya prekembangan aspek sosioemosi dapat ditingkatkan lagi.
15. Menolong murid-murid menjalani program orientasi ketika bertukar dari sekolah rendah ke sekolah menegah. Program ini dapat mempercepatkan proses penyesuaian dengan situasi yang baru bagi murid berkenaan.
16. Menolong murid-murid mendapatkan pengetahuan dan maklumat kerjaya bagi memudahkan mereka membuat permohonan ke institusi-institusi pengajian yang berkenaan.
17. Mengadakan kem motivasi dari semasa ke semasa begi murid-murid dengan tujuan meningkatkan aras motivasi terhadap kerja.
18. Bekerjasama dengan ibu bapa tentang perkembangan anak-anak mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Home | Biodata | Bimbingan & Kaunseling | Links | Feedback

This site was last updated 08/29/03